Selasa, 14 Februari 2017

Pil 'vitamin ajaib' sempena Valentine

Bangkok: Sempena Hari Valentine, kerajaan Thailand mengedarkan secara percuma puluhan ribu pil yang digelar ‘vitamin berkuasa ajaib’ untuk meningkatkan kesuburan wanita berikutan kejatuhan kadar kelahiran di negara itu.
Pekerja kerajaan memenuhi jalan raya sekitar Bangkok semalam, untuk mengedarkan pil bernilai satu juta baht (RM127,200) itu kepada wanita berusia antara 20 hingga 34 tahun. Pil berkenaan mengandungi asid folik dan zat besi bagi meningkatkan kesuburan wanita untuk hamil.
Pemberian pil percuma itu antara program ‘kempen untuk wanita Thai memiliki anak untuk negara menggunakan vitamin berkuasa ajaib’.
Semakin ramai pasangan Thailand tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan atau berkahwin lambat menyebabkan mereka tidak mempunyai ramai anak.
“Cara hidup penduduk Thailand sudah berubah. Wanita semakin tinggi pendidikan dan mereka lebih suka hidup membujang selama mungkin,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan, Doktor Wachira Pengjuntr.
Kadar peningkatan penduduk Thailand hanya 10. peratus pada 2015, merosot berbanding 2.7 peratus pada 1970.
Menurut Wachira, jika kadar itu berterusan, kadar pertambahan penduduk Thailand akan menjadi sifar dalam masa 10 tahun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar